SetEnvIfNoCase Referer "^http://sepanggar\.blogspot\.com/" local_ref=1 Order Allow,Deny Allow from env=local_ref

Tuesday, January 06, 2009

Mini Cat perlu Bantuan

Selasa, 06.01.2009
Hari ni Mini jatuh sakit, tapi kata doktor Mini tidak sakit. Tiga hari lepas, umurnya genap 10 bulan. Dah masuk hari ketiga, Mini tidak makan - sampai ikan sardin dan susu pun ditolak! Air pun sikit saja diminum. Jadi terpaksalah Mini dipaksa minum glukosa dengan pam, itupun cuma 10 ml saja. Kerja dia sekarang, tiiiiiidur saja.

Kata doktor, Mini tidak demam panas, mulutnya tidak pecah-pecah. Bulunya gugur, jadi kata doktor Mini tengah angau. Terlampau juga angaunya, sampai tak nak makan minum! Peliknya dia tidak bising macam kucing-kucing lain.

Jadi, Mini perlukan bantuan. Apa masalahnya? Ada idea? Saya dan doktor sudah buntu. Esok mungkin kita pergi jumpa doktor lagi. Sian....

Kemaskini Rabu, 07.01.2009, 13:37
Kini Mini sedang di'hospital'. Rupa-rupanya dia besar kemungkinan keracunan. Keracunan apa? Tidak tau. Di rumah tiada racun tikus, racun ular, dan racun macam-macam binatang. Mungkin bahan toksik dari fungus. Dia tidak mau makan dan minum. Dia tidak lagi membersihkan dirinya. Dua jilat ja air dia minum dengan sendiri. Pam air glukosa pun dia tidak mau, tidak berapa menelan. Sampai klinik, dia dibagi 50 ml glukosa terus ke kulit melalui suntikan. Semasa diberi suntikan tersebut, Mini terus kencing. Kali terakhir saya teringat dia kencing adalah pada hari Isnin atau Selasa. Selepas disuntik antidot untuk keracunan, dia kini dipantau oleh doktor. Maknya, si Bulu dan kembar tak seirasnya si Polo, tidak mau sudah dekat dia. Dia tidak bau, cuma longlai tidak bertenaga kerana tidak makan. Saya masih lagi buntu macam mana nak menolong Mini. Selepas kerja jam 5 nanti, saya akan pegi ambil Mini dari klinik. Cuti tahunan ada lebih 60 hari, masih lagi tidak dapat bercuti. Mesyuarat sini sana, menyelia pelajar. Bukanlah kerja-kerja ini tidak penting atau dibenci, cuma terkilan cuti tidak dapat digunakan bila saya amat memerlukannya.

Kemaskini Rabu, malam
Ketika menjemput Mini dari klinik, saya terfikir marilah kita ambil X-ray Mini untuk tahu samada ada sebarang benda asing tersumbat di dalam saluran gastro-usus Mini yang menyebabkan keadaan Mini sedemikian. Pernafasannya nampak macam susah (laboured breathing). Setelah di X-ray, tiada sebarang benda tersumbat. Doktor tidak nampak apa-apa, yang ada banyak ruang kosong yang kelihatan seperti angin. Selepas diberi lagi 50 ml glukosa lagi, Mini pun dibawa balik. Di rumah, Mini boleh keluar dari bakulnya, boleh berjalan sekitar ruang tamu, biarpun longlai. Dia kencing di lantai bilik air kerana tidak larat lagi untuk melompat ke dalam kotak pasirnya. Kesian sungguh.

Kemaskini Khamis, 08.01.2009
Doktor kata dia termimpi pada dua pagi semalam, ada suara memberitahu diafragma Mini terkoyak. Doktor fikir ini mungkin disebabkan terjatuh atau tercucuk sesuatu benda akibat terlanggar. Itulah ruang kosong yang kelihatan di X-ray. Itulah pernafasan Mini nampak laboured. Cadangannya, Mini dibarut di perut untuk mengecilkan ruang kosong udara yang terbentuk apabila diafragma terkoyak. Tiada apa yang dapat dibuat lagi. Ia akan baik sendiri dalam tempoh dua minggu. Kalau dia tidak mahu makan minum, doktor akan bagi subcutaneous hydration dengan glukosa, dan suntikan vitamin. Mini diberi 30 ml glukosa dan banyak kencing di klinik doktor sepanjang tengahari tersebut. Apabila saya menjemputnya selepas waktu pejabat, Mini kelihatan lemah, tapi tidak lebih teruk.

Barutan di perut Mini asyik tertanggal apabila dia berjalan di sekitar ruang tamu. Dia kencing sekali lagi di tandas.

Kemaskini Jumaat, 09.01.2009
Pagi-pagi saya nampak Mini di bawah piano (biasanya dia suka duduk di atas piano). Pernafasannya kelihatan lebih berat (more laboured). Saya sangat risau. Walau macam manapun, saya terpaksa juga memberi kuliah dari jam 8 hingga 10 pagi. Tetapi, niat saya adalah bercuti hari tersebut, selepas kuliah untuk bersama Mini. Lagipun, doktor cuma akan sampai di klinik pada jam 10 biasanya. Rancangannya seperti biasa, membawa Mini ke klinik untuk diberi glukosa dan agar doktor dapat menengoknya. Jam 9.30 pagi, rakan serumah menelefon mengatakan Mini nampak semakin teruk dan nyawa-nyawa ikan. Saya terus menamatkan kuliah dan bergegas balik ke rumah. Mujurlah jarak pejabat dan rumah cuma 5 minit memandu.

Sampai di rumah, Mini terbaring mengiring (di atas selipar di dapur). Pernafasannya sudah tercunggap-cunggap dan melalui mulut. Segeralah kami ke klinik, tetapi disebabkan Jummat, doktor cuma dapat sampai klinik pada jam 1:00 selepas menghantar anak-anaknya ke sekolah. Melalui telefon, doktor mengajar untuk memasukkan glukos 10 ml melalui suntikan ke kulit. Pernafasan Mini semakin susah. Setiap seminit, dia akan menarik nafas panjang. Dia sudah tidak berupaya duduk, cuma boleh berbaring mengiring dengan kepalanya berbantalkan tapak tangan saya. Saya kesian betul dengan Mini. Apabila mendukungnya, dia berupaya lagi untuk menendang dengan kakinya seperti ketika dia sihat, cuma tendangannya lemah. Dia boleh lagi meow dengan agak kuat, kerana tidak selesa. Apabila dipanggil namanya, dan diusap badan dan kepalanya, dia masih lagi memberi respons. Apabila dipegang tangan depannya, dia masih mengcengkam jari kita.

Ketika itu saya tau Mini akan pulang kepadaNya tidak lama lagi. Pernafasannya semakin susah. Jantungnya masih kuat apabila didengar melalui stetoskop, tetapi ada bunyi wheezing di dalam rongga dadanya. Kaki belakangnya sudah sejuk. Suhu badannya 35.4C. Saya selimutkannya dengan tuala. Matanya besar menengok saya dan basah. Kepalanya berbaring di atas tapak tangan kiri saya. Saya cakap dengan dia, "Pergilah, pulanglah, dan saya minta maaf dengan dia untuk dosa saya kepadanya; dan saya halalkan semua makan minumnya selama ini."

Pada jam 12:22, Mini menarik dua nafas panjang, dan tangan depan kirinya yang berbulu hitam mencengkam tapak tangan kanan saya. Selepas itu, jantung Mini berhenti. Matanya terasa ada gerakan involuntary. Mini telah kembali kepada Allah.

Doktor meminta kebenaran untuk membuat post-mortem ke atas Mini kerana ia dapat membantu kes-kes lain pada masa hadapan. Sehingga saat itu, doktor tidak dapat diagnos apa sakitnya. Saya benarkan dan berada di situ sepanjang post mortem. Sebab kematiannya berkemungkinan besar bukan trauma dari jatuh tetapi kanser paru-paru. Kalau ada pembaca yang terbaca blog ini dan mempunyai kucing yang mengalami keadaan yang sama, hubungilah saya dan saya akan bagi tau butir-butir post-mortemnya. Tidak payahlah ditulis di sini.

Mini dibawa pulang dalam balutan surat khabar. Polo Pau tercari-cari adiknya, asyik menghidu bungkusan tersebut. Dia tau Mini sudah tiada, tapi masih mencari, masih mengiau. Saya dan rakan rumah menyediakan kubur Mini di dalam taman di depan rumah, di bawah teduhan pokok jambu. Sehasta dalamnya. Saya tukar balutan Mini kepada kain putih, sebenarnya kain tudung saya. Biarlah dia ditanam dengan kain daripada surat khabar. Sedih sekali melihat Mini untuk kali terakhir, mengusapnya untuk kali terakhir. Pada jam 5:40 petang, Mini yang kadang-kadang dipanggil Mono selamat dikuburkan.

Mini yang sepanjang hayatnya yang pendek, 9 bulan, 7 hari, terlalu rapat dengan saya dan biarpun penakut, amat manja dan penyayang. Mini Cat @ Mono; 3 Mac 2008 - 9 Januari 2009.

Sunday, July 06, 2008

Saya sebenarnya lima tahun lebih muda

Menurut ini, saya sebenarnya lima tahun lebih muda dari usia sekarang. Muda di hatilah, kata orang. hahaha!




You Act Like You Are 25 Years Old



You are a twentysomething at heart. You feel like an adult, and you're optimistic about life.

You feel excited about what's to come... love, work, and new experiences.



You're still figuring out your place in the world and how you want your life to shape up.

The world is full of possibilities, and you can't wait to explore many of them.

Alkisah tiga ekor


Alkisah Tiga Ekor (No.2)

Oleh Yasmin
Kota Kinabalu
6 Julai 2008, 12:05 tengahari

(gambar kiri: acara gusti kategori berat di bawah 2 kg)

Sejak diperkenalkan, Bulu Cat, biasa dipanggil Bulu saja, telah membesarkan dua ekor anak. Satu putih melepak dengan tompok oren dan hitam. Satu lagi sebiji macam induknya, kecuali ekornya yang kontot separuh jalan.

Si putih namanya Polo Pau sebab warnanya macam sejenis roti bun Hong Kong yang bernama gitu. Nama pendek si Polo Pau adalah Polo atau Pau Pau. Semuanya kena disebut dalam nada Kantonis. Kalau lari sikit, dia tidak faham!

Satu lagi dipanggil Mini Cat, macam watak side kick Mini Me dalam cerita Austin Powers. Nama pendeknya Mini, nama panjangnya, Mini Oh Mini!

Dia orang dilahirkan pada 3 Mac 2008, dan kini 4 bulan lebih beberapa hari. Masih lagi menyusu! Berat setiap satunya hampir dua kilogram. Kalau campur dengan Bulu, sudah lebih berat dari beras lima kilo.

Si Polo sangat nakal. Setiap hari dia akan buli mamaknya dan adiknya. Si Mini pula agak pengecut tapi sangat penyayang. Setiap hari dijilat bersih mamaknya dan kakaknya. Ketiga-tiga ekor ni hari-hari bersukan Olimpik. Ada acara lari pecut 5 meter, lompat tinggi 1.5 meter, panjat galah 3 meter, lompat jauh 0.5 meter, gusti kategori berat di bawah 2 dan 5 kg, tinju di bawah 2 dan 5 kg, kejar ekor 10 cm, dan banyak lagi acara-acara baru. Motivasi mereka semuanya adalah semangat kesukanan, tak payah disogok dengan makanan kucing atau satu juta ringgit macam peserta manusia.

Judul asal bab ini adalah dari bahasa Inggeris, A Tale of Three Tails. Jangan risau, Bulu, Polo dan Mini faham kedua-dua bahasa.

Wednesday, December 19, 2007

Cerita pasal Cat (No.1)

Cerita pasal Cat (No.1)

Oleh Yasmin
Kota Kinabalu
20 Disember 2007, 1:46 pagi

Adalah satu ekor kucing ini. Rupanya saling tak tumpah dengan baju bulu yang kena tumpah cat. Itulah pasal namanya Cat. Kadang-kadang, si Cat ini dipanggil Bulu Cat atau Cat Tumpah. Kesian si Cat, selalu kehilangan anak-anaknya.

Kini, Cat yang semasa menggeliat panjangnya lebih kurang 80 cm dari muncung hidung ke hujung ekornya sedang tidur di sebalik komputer riba tatkala aku menaip mukadimah “Cerita Cat” yang akan disirikan nanti. Baguslah. Hujung katil, tempat yang paling sejuk ketika mula-mula melunjurkan kaki untuk tidur pasti sudah dipanaskan oleh Cat yang seberat 3 kilo ini.

Minggu depan, deskripsi semua warna dan corak bulu Cat? Tidak begitu menarik? Itu cuma mukadimah, tiada satu hari pun yang dilalui Cat yang tidak menarik. Asalnya siri cerita pendek ini diilhamkan dalam Bahasa Inggeris sebagai A tale of Cat. Biarlah, bahasa mana pun tak penting. Cat faham kedua-duanya, atau Cat buat-buat faham kedua-duanya? Entahlah, aku pun buat-buat faham meow nya yang pelbagai nada.

Friday, November 09, 2007

Hangatnya senyuman mata

(I)
Matanya senyum
Wah! Hangatnya!

Hangatnya tangan
Saat bersalam

Tangan digenggam
Salam berisi

(II)
Dia berpaling
Eee! Sejuk!

Sejuknya layanan
Masa janji ditagih

Layanan disingkatkan
Singkat-sesingkatnya

(III)
Langkah dilajukan
Ooo! Takut rupanya!

Takutnya badan
Sejurus sebelum bersama

Badan dah gempal
Susah nak bergerak sama


Yasmin
Kota Kinabalu
9 November 2007

Bantuan tafsiran:
Ini barangkali kisah pertemuan pertama hingga yang kesekalinya; baik bagi sesetengah pengantin, pencatur politik, pekerja mahupun majikan. Ada tafsiran lain lagi?

Tuesday, November 06, 2007

Ke mana pergi guli

Ke mana pergi guli?
Kalau tidak golek kembali

Kenapa hati pergi?
Kalau bukan untuk kembali.

Yasmin
Kota Kinabalu
Maghrib, 6 November 2007

Wednesday, October 24, 2007

Belajar dari cinta

Belajar dari cinta
Yasmin
Kota Kinabalu
24.10.2007

Hidup ini terlalu pendek
Untuk bermain cinta monyet
Tapi kalau tiada cinta separuh hati
Masakan sedar manisnya cinta sejati

Jika Rumi buta cinta
Adakah begitu indah tulisan?

Friday, June 29, 2007

Setiap satu ada masanya

Oleh Yasmin
Kota Kinabalu, Maghrib, Jumaat, 29 Jun 2007
Karya asal dalam bahasa Inggeris

Dengar
tika hari masih muda
cahaya belum hinggap
tika tilam masih panas
kain cadar bergesel
seorang bergolek
mencari ruang empuk
yang belum ditindih.

Aku masih bekerja, berfikir,
tika tidur masih belum singgah
aku bergantung kepada sabar,
kepada tekun, untuk melalui
jalan ini, yang sudah dijejaki ramai
dan ramai lagi akan melalui
ada yang kecewa dan mengalah
ramai lagi yang bertahan
setiap satu ada masanya.

Dibuatnya aku tidak membuka langkah
aku tak kan menemui Engkau, sentiasa ada
perjalanan ini menjadikan aku kaya
dalam seribu satu cara
aku sudah berubah dari mula-mula
dari naif, teragak-agak, mempercayai, penuh harapan
kepada kritikal, masih mempercayai, lagi sarat dengan harapan.

Aku dulunya berharap
agar impian menjadi kenyataan
ada kalanya menjadi, ada kalanya tidak
aku sudah belajar
semuanya akan berlaku seperti kehendak Engkau
aku tidak tahu masa itu
Engkau tunjukkan bagaimana, mengapa
aku tahu sekarang, aku cinta pada Engkau
aku tak mahu lagi tergesa-gesa
kerana aku tahu sekarang
setiap satu ada masanya.

Pendengar
Engkau mendengari aku
biarpun aku tidak bersuara
bila tiada kata untuk membahasakan
apa yang ingin aku bagi tau
aku ada begitu banyak soalan
Engkau menjawab
dengan petunjuk yang sekian lama aku kenal
ada orang kata Engkau suatu ciptaan,
buat menenang orang yang hampa
sedangkan Engkau yang mencipta,
bila aku berpaling kepada Engkau,
aku mengaku kerapuhanku, kemanusiaanku.

Dengar
kawan-kawan aku
fikirkan ini
begitu ramai sebelum kita
dan ramai lagi selepas kita
setiap orang dalam masanya, zamannya
tapi semua dengan lagu yang sama
“Pergi, supaya engkau boleh kembali”
Aku pergi, mempercayaiNya,
Kerana aku ingin kembali,
kepadaNya, dan Dia sahaja,
Satu-satunya
Aku bertanya kepadaNya,
“adakah giliran aku di hari Jumaat?”

Pagi petang malam kerja

oleh Yasmin
Kota Kinabalu, 29 Jun 2007

Pagi kerja
Petang kerja
Malam kerja
Hingga meluat,
mencari makan cuma
curi tulang penawar haru.

Pagi kerja
Petang kerja
Malam kerja
Kalau dah minat,
seolah cinta pandang pertama
setiap saat tak erti jemu.