SetEnvIfNoCase Referer "^http://sepanggar\.blogspot\.com/" local_ref=1 Order Allow,Deny Allow from env=local_ref

Tuesday, January 06, 2009

Mini Cat perlu Bantuan

Selasa, 06.01.2009
Hari ni Mini jatuh sakit, tapi kata doktor Mini tidak sakit. Tiga hari lepas, umurnya genap 10 bulan. Dah masuk hari ketiga, Mini tidak makan - sampai ikan sardin dan susu pun ditolak! Air pun sikit saja diminum. Jadi terpaksalah Mini dipaksa minum glukosa dengan pam, itupun cuma 10 ml saja. Kerja dia sekarang, tiiiiiidur saja.

Kata doktor, Mini tidak demam panas, mulutnya tidak pecah-pecah. Bulunya gugur, jadi kata doktor Mini tengah angau. Terlampau juga angaunya, sampai tak nak makan minum! Peliknya dia tidak bising macam kucing-kucing lain.

Jadi, Mini perlukan bantuan. Apa masalahnya? Ada idea? Saya dan doktor sudah buntu. Esok mungkin kita pergi jumpa doktor lagi. Sian....

Kemaskini Rabu, 07.01.2009, 13:37
Kini Mini sedang di'hospital'. Rupa-rupanya dia besar kemungkinan keracunan. Keracunan apa? Tidak tau. Di rumah tiada racun tikus, racun ular, dan racun macam-macam binatang. Mungkin bahan toksik dari fungus. Dia tidak mau makan dan minum. Dia tidak lagi membersihkan dirinya. Dua jilat ja air dia minum dengan sendiri. Pam air glukosa pun dia tidak mau, tidak berapa menelan. Sampai klinik, dia dibagi 50 ml glukosa terus ke kulit melalui suntikan. Semasa diberi suntikan tersebut, Mini terus kencing. Kali terakhir saya teringat dia kencing adalah pada hari Isnin atau Selasa. Selepas disuntik antidot untuk keracunan, dia kini dipantau oleh doktor. Maknya, si Bulu dan kembar tak seirasnya si Polo, tidak mau sudah dekat dia. Dia tidak bau, cuma longlai tidak bertenaga kerana tidak makan. Saya masih lagi buntu macam mana nak menolong Mini. Selepas kerja jam 5 nanti, saya akan pegi ambil Mini dari klinik. Cuti tahunan ada lebih 60 hari, masih lagi tidak dapat bercuti. Mesyuarat sini sana, menyelia pelajar. Bukanlah kerja-kerja ini tidak penting atau dibenci, cuma terkilan cuti tidak dapat digunakan bila saya amat memerlukannya.

Kemaskini Rabu, malam
Ketika menjemput Mini dari klinik, saya terfikir marilah kita ambil X-ray Mini untuk tahu samada ada sebarang benda asing tersumbat di dalam saluran gastro-usus Mini yang menyebabkan keadaan Mini sedemikian. Pernafasannya nampak macam susah (laboured breathing). Setelah di X-ray, tiada sebarang benda tersumbat. Doktor tidak nampak apa-apa, yang ada banyak ruang kosong yang kelihatan seperti angin. Selepas diberi lagi 50 ml glukosa lagi, Mini pun dibawa balik. Di rumah, Mini boleh keluar dari bakulnya, boleh berjalan sekitar ruang tamu, biarpun longlai. Dia kencing di lantai bilik air kerana tidak larat lagi untuk melompat ke dalam kotak pasirnya. Kesian sungguh.

Kemaskini Khamis, 08.01.2009
Doktor kata dia termimpi pada dua pagi semalam, ada suara memberitahu diafragma Mini terkoyak. Doktor fikir ini mungkin disebabkan terjatuh atau tercucuk sesuatu benda akibat terlanggar. Itulah ruang kosong yang kelihatan di X-ray. Itulah pernafasan Mini nampak laboured. Cadangannya, Mini dibarut di perut untuk mengecilkan ruang kosong udara yang terbentuk apabila diafragma terkoyak. Tiada apa yang dapat dibuat lagi. Ia akan baik sendiri dalam tempoh dua minggu. Kalau dia tidak mahu makan minum, doktor akan bagi subcutaneous hydration dengan glukosa, dan suntikan vitamin. Mini diberi 30 ml glukosa dan banyak kencing di klinik doktor sepanjang tengahari tersebut. Apabila saya menjemputnya selepas waktu pejabat, Mini kelihatan lemah, tapi tidak lebih teruk.

Barutan di perut Mini asyik tertanggal apabila dia berjalan di sekitar ruang tamu. Dia kencing sekali lagi di tandas.

Kemaskini Jumaat, 09.01.2009
Pagi-pagi saya nampak Mini di bawah piano (biasanya dia suka duduk di atas piano). Pernafasannya kelihatan lebih berat (more laboured). Saya sangat risau. Walau macam manapun, saya terpaksa juga memberi kuliah dari jam 8 hingga 10 pagi. Tetapi, niat saya adalah bercuti hari tersebut, selepas kuliah untuk bersama Mini. Lagipun, doktor cuma akan sampai di klinik pada jam 10 biasanya. Rancangannya seperti biasa, membawa Mini ke klinik untuk diberi glukosa dan agar doktor dapat menengoknya. Jam 9.30 pagi, rakan serumah menelefon mengatakan Mini nampak semakin teruk dan nyawa-nyawa ikan. Saya terus menamatkan kuliah dan bergegas balik ke rumah. Mujurlah jarak pejabat dan rumah cuma 5 minit memandu.

Sampai di rumah, Mini terbaring mengiring (di atas selipar di dapur). Pernafasannya sudah tercunggap-cunggap dan melalui mulut. Segeralah kami ke klinik, tetapi disebabkan Jummat, doktor cuma dapat sampai klinik pada jam 1:00 selepas menghantar anak-anaknya ke sekolah. Melalui telefon, doktor mengajar untuk memasukkan glukos 10 ml melalui suntikan ke kulit. Pernafasan Mini semakin susah. Setiap seminit, dia akan menarik nafas panjang. Dia sudah tidak berupaya duduk, cuma boleh berbaring mengiring dengan kepalanya berbantalkan tapak tangan saya. Saya kesian betul dengan Mini. Apabila mendukungnya, dia berupaya lagi untuk menendang dengan kakinya seperti ketika dia sihat, cuma tendangannya lemah. Dia boleh lagi meow dengan agak kuat, kerana tidak selesa. Apabila dipanggil namanya, dan diusap badan dan kepalanya, dia masih lagi memberi respons. Apabila dipegang tangan depannya, dia masih mengcengkam jari kita.

Ketika itu saya tau Mini akan pulang kepadaNya tidak lama lagi. Pernafasannya semakin susah. Jantungnya masih kuat apabila didengar melalui stetoskop, tetapi ada bunyi wheezing di dalam rongga dadanya. Kaki belakangnya sudah sejuk. Suhu badannya 35.4C. Saya selimutkannya dengan tuala. Matanya besar menengok saya dan basah. Kepalanya berbaring di atas tapak tangan kiri saya. Saya cakap dengan dia, "Pergilah, pulanglah, dan saya minta maaf dengan dia untuk dosa saya kepadanya; dan saya halalkan semua makan minumnya selama ini."

Pada jam 12:22, Mini menarik dua nafas panjang, dan tangan depan kirinya yang berbulu hitam mencengkam tapak tangan kanan saya. Selepas itu, jantung Mini berhenti. Matanya terasa ada gerakan involuntary. Mini telah kembali kepada Allah.

Doktor meminta kebenaran untuk membuat post-mortem ke atas Mini kerana ia dapat membantu kes-kes lain pada masa hadapan. Sehingga saat itu, doktor tidak dapat diagnos apa sakitnya. Saya benarkan dan berada di situ sepanjang post mortem. Sebab kematiannya berkemungkinan besar bukan trauma dari jatuh tetapi kanser paru-paru. Kalau ada pembaca yang terbaca blog ini dan mempunyai kucing yang mengalami keadaan yang sama, hubungilah saya dan saya akan bagi tau butir-butir post-mortemnya. Tidak payahlah ditulis di sini.

Mini dibawa pulang dalam balutan surat khabar. Polo Pau tercari-cari adiknya, asyik menghidu bungkusan tersebut. Dia tau Mini sudah tiada, tapi masih mencari, masih mengiau. Saya dan rakan rumah menyediakan kubur Mini di dalam taman di depan rumah, di bawah teduhan pokok jambu. Sehasta dalamnya. Saya tukar balutan Mini kepada kain putih, sebenarnya kain tudung saya. Biarlah dia ditanam dengan kain daripada surat khabar. Sedih sekali melihat Mini untuk kali terakhir, mengusapnya untuk kali terakhir. Pada jam 5:40 petang, Mini yang kadang-kadang dipanggil Mono selamat dikuburkan.

Mini yang sepanjang hayatnya yang pendek, 9 bulan, 7 hari, terlalu rapat dengan saya dan biarpun penakut, amat manja dan penyayang. Mini Cat @ Mono; 3 Mac 2008 - 9 Januari 2009.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home