SetEnvIfNoCase Referer "^http://sepanggar\.blogspot\.com/" local_ref=1 Order Allow,Deny Allow from env=local_ref

Friday, October 28, 2005

Aidil Fitr


Selamat Hari Raya

Jawi ini aku 'tulis' sendiri dengan Microsoft Paint. Bahasa Melayu jawi aku dipelajari sendiri, kalau ada silap, tolong tunjukkan, terima kasih.

Budak-budak ligat main dengan kawan,
orang tua membakar lemang pulut;
selamat hari raya dari perantauan,
maaf zahir batin tetap di mulut.

Ramadhan mulia pergi jua,
lambaian Syawal menggamit lagi;
andai tersilap sesama kita semua,
ampun dan maaf mohon dibagi.





*******
Seribu satu bahasa ucapan raya:
Paling biasa kita dengar, "Selamat Hari Raya, maaf zahir batin."
Budak-budak kengkadang akan tanya, semakin hari semakin berani, "Duit raya mana?" Kalau aku ada anak suatu hari nanti, janganlah dia jenis pendiam seribu bahasa, tapi minta-minta, janganlah dia ungkap ayat terakhir itu; sesungguhnya budi bahasa anak adalah cermin didikan di rumah.

Orang Melayu pantang digelar kurang ajar. Jika seseorang itu kurang ajar, bukan sahaja seorang itu yang dikatakan kurang ajar, malahan ibubapa, satu keluarganya telah kurang mengajarnya!

Kalau diungkap dalam bahasa Cina, lagi memalukan. Jika diterjemah, dalam bahasa Cina, maksudnya, "yang tidak dididik oleh keluarga"!

Kini, ucapan "Selamat Hari Raya" sudah sekian lama tidak aku dengar, kecuali di perkarangan Dewan Malaysia. Yang saban hari aku dengar, ialah "Eid Mubarak", atau yang tidak erti berbahasa Arab dua perkataan itu, maka diucapnya "Happy Eid".

Biar apapun bahasa ucapannya, ia tetap sama bagi aku. Ramai orang Malaysia berkata, "Tahun ini aku beraya di luar negeri. Tiada ertilah, tiada suami/isteri di sisi, tiada anak, dan sebagainya." Kenapalah saudara senegara aku sering alpa, "Raya itu untuk apa?"

Bukankah raya itu meraikan kita selamat berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan? Bukankah puasa itu bukan untuk manusia? Puasa itu adalah untuk Allah Taala. Maka jika puasa itu untuk Allah, kenapalah kita bersedih sangat tika tiada ucapan raya dalam Bahasa Melayu, jika tiada keluarga beraya sekali, waima jika tidak dapat balik kampung?

Ya, barangkali kita rindu akan suasana raya di Malaysia. Namun, janganlah perasaan rindu ini mengambil alih tempat perasaan syukur kerana selamat berpuasa untuk setahun lagi.

Thursday, October 27, 2005

Saja-saja


Ini bukan gambar kahwin! Ini gambar lepas balik dari studio. London, April 2005. Posted by Picasa

Thursday, October 13, 2005

Kerbau pendek

Bagi pembaca yang tak tahu, kerbau pendek ni jolokan yang diberikan kepada babi. Ada orang yang jengkel nak sebut ba alif ba ya, lalu dibahasakan sebagai kerbau pendek.

Sejak seminggu lalu, seekor kerbau pendek telah hadir atas meja aku. Dalam pejabat aku, ada tiga ekor lagi, atas meja-meja rakan kerja aku. Kerbau-kerbau pendek ini diberikan percuma di suatu stesen keretapi bawah tanah di London seminggu lepas.

Tingginya 3 inci, panjangnya 5 inci, kurang lebih lah. Warnanya merah jambu! Yang kurang, ekornya yang berpintal tu, langusng tak berekor. Dia ni 'halal' untuk dipegang sebab diperbuat daripada 100% getah. Mungkin getah itu diimport dari Malaysia, entahlah.

Tujuan kehadiran kerbau pendek ini, adalah sebagai pengurang tekanan, cakap omputih, stress. Semua orang dalam pejabat ni dah tertekan dengan statistik, dengan beban kerja berlambak, sampai ada yang dah kekurangan rambut, gara-gara ditarik-tarik, skrin komputer pun dah hampir nak meletup dikerjakan kitorang, mouse yang disambung kat komputer pun dah layu dikerjakan - diarah klik sini sana ribuan kali sehari. Oleh itu, kitorang sekarang dapatlah mengurangkan tekanan kerja dengan meramas-ramas si kerbau pendek comel satu ekor ni.

Wednesday, October 12, 2005

Roti Canai Teluk Likas

Aku teringat makan kat gerai-gerai tepi laut di Teluk Likas dengan kawan-kawan kira-kira lima tahun lepas. Teluk Likas ini memang satu teluk di satu kawasan Kota Kinabalu, Sabah yang menghijau dan berdepan dengan pantai. Teluk ini teluk betul, bukan macam teluk belanga.

Adalah satu pemilik gerai yang berotak licin sikit. Taklah macam sesetengah yang otak pekat, sampai berniaga pun lima enam biji gerai, jual benda yang serupa dalam satu pasar malam kecil. Roti canainya digelar Roti Canai Teluk Likas. Adakah dia sebesar Teluk Likas? Tak lah, kalau tidak, takdelah kelaparan budak-budak jual bahai 10 sen satu di pasar Filipin KK. Budak tinggi sampai paha, nak minta kita upah dia angkat barang dapur cukup untuk satu minggu, dengan upah 50 sen. Kesian.

Nak upah dia pun salah, tak nak upah dia pun salah. Kalau upah dia, tak ka mendera bebudak kecik angkat barang dua tiga kali berat badan dia? Kalau semuorang upah dia, ibubapa mereka yang kengkadang pendatang tanpa izin sengaja suruh diorang kerja macam itu lah pulak. Tak nak upah dia, kosong pula perut dia, tiada duit nak beli makanan. Sampai habis bandwith belog ini pun, tak selesai lagi nak kupas macamana diorang boleh berada di Sabah, tetapi tidak di Berunai dan tidak di Sarawak?

Pun begitu, balik ke cerita roti canai Teluk Likas, kalau tidak silap aku, roti dibuat macam roti tisu yang dijual gerai-gerai mamak di Kuala Lumpur. Benda tu hangat lima tahun dulu, menjadi macam fesyen makanan lah pulak. Ni dia gambar roti tisu yang dijual di Kuala Lumpur sekitar 2001. Gambar ni aku pinjam dari Allen Tan yang boleh didapat di sini. Kalau nak pakai, tolong ungkap nama saudara Allen ini ya.

Sebulan selepas kitorang berkenalan dengan roti canai Teluk Likas, kengkawan aku pegi pula ke Pulau Pinang. Di sana roti tisunya betul-betul rapuh macam suratkhabar salai. Tak macam roti canai. Lepas tu, gulungan 'tisu' itu pula macam popiah tanpa isi, atau batang paip, besarnya macam sebesar lengan, panjangnya adalah setengah meter. Terlopong kengkawan aku tengok! Ini belum lagi pengusaha gerai mamak di Gurney Drive, Pulau Pinang itu mempromosikan teh tarik Komtarnya. Kalau gelas biasa, tinggi macam biasalah, gelas ini setinggi botol pencuci rambut yang paling besar tu. Tiada pula tandas yang kelihatan berdekatan.


Kalau baju ada fesyen, sekarang makanan pun ada. Tak nak kalah jugak. Rugi aku tak tangkap gambar, kalau tak boleh aku pampang atas dada majalah. Terliur laki-laki. Bini diorang pun tak marah kan, kalau terliur ngan cik roti canai?

Sunday, October 09, 2005

1901

Sebenarnya, saya tidaklah berumur 104 tahun. Barangkali kalau saya dilahirkan di planet Kejora, yang mempunyai orbit yang lebih pendek, mungkin mencapai 104. Itupun, tiada manusia yang boleh hidup di sana kerana planet tersebut panas sampai tiada perkataan untuk menggambarkannya. Nak kata panas macam neraka, tak berani lah pula. Neraka kan tempat azab yang paling panas sekali. Takut aku berkata tidak benar kalaulah planet Kejora tidak sepanas itu.

Sebenarnya saya nak letak tarikh lahir saya sebagai 3 Ramadhan, 1397 Hijrah. Namun, teknologi blogger ini hanya membenarkan orang yang berumur 104 tahun ke bawah untuk menyenaraikan tarikh lahir mereka. Dibuatnya orang tertua yang dicatatkan hidup, yakni 120 lebih tahun, tidak bolehlah si dia itu membelog.

Salam,
Yasmin